Tuesday, February 15, 2011

"one of the most exciting book i ever read" - Shawn Syazwan


Asallamualaikum Ust.

1st, cayalah ust. buku anda telah menjadi sumber inspirasi buat saya dan membe2. one of the most exciting book i ever read. Jarang skali buku perjuangan tokoh yang dianalisa seperti ini dihasilkan, terutamanya sirah Nabawiyyah. Tahniah Ust!

2nd, di sebabkan kebesan penulisan ust dan sempena Maulidur Rasul pada hari ini, saye nak tanye bile pulak buku kedua Ust Kuasa IQ EQ SQ Dalam Sirah Peperangan Rasulullah akan diterbitkan?

3rd Ingin saye mencadangkan kepada Ust supaya lebih diperbanyakkan lagi grafik2 dan diagram yang menarik dan mudah difahami untuk keluaran buku yang selanjutnya bagi menarik lebih ramai lagi pembaca2 remaja. sebab kalo kiite tgk remaja sekarang ni memang mudah tertarik dengan grafik2 yang 'style' ni.

WAllahu'alam slm wbt

Assalamualaikum

Ustaz sangat2 hargai feedback dan pandangan saudara. Cadangan saudara mengenai grafik yang lebih baik sungguh mematangkan ustaz untuk penulisan akan datang.


Untuk makluman saudara, buku kedua ustaz belum diputuskan lagi tajuk muktamadnya. Namun yang confirmnya bukan IQ-EQ-SQ dalam sirah peperangan Rasul, lantaran Ustaz mendapati ramai sudah menyebutkan mengenai ini meskipun tidak dalam kerangka IQ-EQ-SQ.

Ustaz lebih cenderung untuk meneruskan fokus mengenai tokoh Islam di luar lingkaran 300 tahun terbaik dan ustaz lebih ghairah untuk meneruskan kajian kedua (terakhir) pada sebaik-baik raja yang diisyaratkan oleh Nabi iaitu Muhammad al-Fateh. Namun, buku kali ini menjanjikan sudut pandang yang berbeza, episod AL-Fateh yang lebih baru dan analisa sejarah yang lebih mekar dan membumi.

Berikut adalah petikan sinopsis buku ustaz

"Ramai sudah mengetahui mengenai kehebatan persiapan dan rahsia kejayaan penawanan Kota Konstantinopel oleh seorang anak muda 22 tahun yang tidak hidup di zaman Nabi atau Sahabat atau Tabi’en, tidak berketurunan Nabi dan bukan bangsa Arab. Namun sudahkah anda mengetahui babak-babak penting sepanjang 30 tahun seterusnya pemerintahan sebaik-baik raja yang disebutkan oleh Nabi ini, termasuk kekalahan parahnya baginda di Belgrade 3 tahun selepas penawanan Konstantinopel, wujudkah hubungan Othmaniyah dan Tanah Melayu pada era al-Fateh, dan bagaimana cara berfikir baginda ketika meluaskan Daulah Othmaniyah dari 600 kilometer persegi pada 2,214,000 kilometer persegi sepanjang 30 tahun tersebut ? Sekali lagi ini buku ini mengambil pendekatan perkahwinan antara sejarah dan motivasi kepimpinan."

Feedback dan Cadangan "Hamba Allah"



Assalamualaikum.
Ustaz, Syukran Jazakallah atas buku Kepemimpinan Al-Fateh. Ana seorang peminat Uthmaniah dari remaja lagi. Lebih berbelas tahun menanti siapalah insan di Malaysia ni yang dapat mencungkil rahsia kekuatan Uthmaniah. Dulu saya ada baca buku Pahrol M. Juoi tetapi belum puas..ttg Sultan al-Fsteh


Ada soalan:


1. Ada tak kajian menunjukkan pengaruh kesufian secara khusus dalam keperibadian Sultan Muhammad? Misalnya latihan S. Aq Shamsudin dan Haji Bayram


2. Bagaimana ana nak hungungjalinkan unsur tasawuf khususnya terhadap Kuasa kepemimpinan Sultan?


3. Apakahada unsur-unsur Hedonisme yang menyebabkan kejatuhan moral sultan-sultan akhir Uthmaniah?


Ana sedang dalam proses hendak membuat kajian ilmiah .


Syukran Kami doakan akan muncul al-Fateh-al-Fateh baru di bumi ini...amin..
Assalamualaikum

Saya sangat hargai feedback dan cadangan pihak saudara. Semoga kajian ilmiah saudara ini akan menambahbaik apa yang telah saya pasakkan sebagai "bahan perbincangan" dalam buku saya. Buku saya bukanlah rujukan muktabar kepada kisah Muhammad al-Fateh, tetapi ia bersifat "hyperlink" untuk pembaca 'beramahmesra' dengan sarjana-sarjana Islam dan Barat yang mempunyai pelbagai cara pandangan sebaik-baik raja yang diisyaratkan oleh Nabi S.A.W ini. Sesungguhnya soalan saudara sememangnya tidak menjadi fokus serius saya ketika dalam menulis bab 12 kuasa pendidikan.

Namun persoalan saudara telah menyebabkan saya akan membelek bab Al-Fatih Al-Ma'nawi Aq Syamsuddin karangan Syekh As-Sollabi, Bab 16 Learning, the Medrese and the Ulema oleh Halil Inalchik dalam The Ottoman Empire The Classical Age 1300-1600, dan "The Politics of Piety : The Ottoman Ulema in The Postclassical Age (1600-1800) karangan Madeline C. Zilfi (University of Maryland, College Park) meskipun buku ini adalah paradigma non-Muslim selepas era al-Fateh. Berikan masa kepada saya insya-Allah.

Terima kasih sekali lagi :)

Tuesday, February 8, 2011

Testimoni Muhammad Afiq Al-Fateh

Pertama sekali ana ucapkan tahniah kepada ustaz kerana telah mengarang buku yang benar-benar menimbulkan keghairahan untuk memahami sejarah Turki Uthmaniah dgn lebih mendalam. Sukar benar mendapatkan karya hebat anta. Terlalu laris dipasaran. Fakta-fakta yang disusun begitu menarik sehingga ana merasakan bahawa setiap manusia punya potensi yang boleh digilap untuk menjadi Al-Fateh.


Ana pernah menyertai Kem Kepimpinan Al-Fateh edisi pertama. Penghayatan ketika itu di tahap sederhana. Barangkali fokusnya adalah lebih kepada anak-anak muda di kampus dan bukan pengkhususan terhadap pembukaan Constantinople sahaja. Namun ana rasa selepas membaca buku ustaz datang rasa keinsafan untuk berubah menjadi seorang yang lebih terbuka dari sudut polisi, ketegasan dan menjadi anak muda yang berjaya.


Ana melihat buku ustaz suatu kematangan dalam memahami jiwa anak muda dalam konteks yang mudah difahami oleh mana-mana anak muda.


Ana mengharapkan agar di masa depan ustaz diberi keizinan oleh Allah Taala untuk mendapatkan sumber-sumber dari Turki dengan lebih banyak dan tepat. Ana suka dengan gaya penulisan ustaz.

Teruskan menulis.


Sekadar pandangan yang tidak seberapa dari ana.

Alfaqir ila afwi rabbihi

Komentar saya : TERIMA KASIH SAUDARA AFIQ "AL-FATEH" :)

Monday, February 7, 2011

Testimoni Prof Redzuan Othman

KATA PENGANTAR

Constantinople atau kini dikenali sebagai Istanbul merupakan ibukota kepada Empayar Byzantium yang diasaskan pada tahun 324 Masihi oleh Maharaja Constantine Agung. Kota yang indah ini terletak di dua buah benua, iaitu Asia dan Eropah. Pada zaman keemasannya yang menjangkau selama dua abad dari 850 hingga 1050 Masihi, Constantinople muncul sebagai sebuah pusat kebudayaan dan keilmuan yang tersohor. Bermula dari abad ke-11 empayar agung ini mula mengalami zaman kemerosotannya. Pada zaman kemerosotannya empayar ini telah digempur oleh tentera salib dan kemudiannya oleh tentera Turki Uthmaniyah yang mempercepatkan proses pereputannya. Keagungan Constantinople berakhir pada 1453 apabila kota tersebut ditawan oleh Sultan Muhammad II atau lebih dikenali sebagai Muhammad Penakluk (al-Fatih). Dengan penaklukan yang dilakukan itu Constantinople ditukarkan namanya kepada Istanbul dan seterusnya diisytiharkan sebagai ibukota Daulah Uthmaniyah pada tahun 1457.

Disebabkan kedudukannya yang strategik dan kemasyhuran yang dimilikinya, Constantinople cuba ditakluki oleh tentera Islam sejak pemerintahan khalifah Muawiyah lagi yang pernah menghantar bala tentera bagi menakluki kota tersebut pada tahun 669 Masihi. Usaha ini gagal kerana kekebalan kota Constantinople, tetapi menjadi satu peristiwa bersejarah apabila seorang sahabat nabi, Abu Ayyub al-Ansari meninggal dunia dalam ekspedisi ini. Usaha bagi menakluki kota ini dipertingkatkan lagi oleh sultan-sultan Daulah Uthmaniyah yang mengaitkan usaha ini dengan keyakinan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad tentang sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali parit Khandaq iaitu “..Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, manakala tenteranya adalah sebaik-baik tentera...”. Selain itu, wasiat Abu Ayyub yang mahukan supaya jenazahnya dikebumikan paling hampir dengan kubu Constantinople turut menjadi inspirasi kepada umat Islam untuk menakluki kota ini. Kepentingan hadith ini dan wasiat Abu Ayyub menjadikan usaha umat Islam menakluki ibu kota Byzantium sebagai tugas suci yang terus dilakukan sepanjang zaman. Atas inspirasi inilah Sultan Muhammad ll berusaha sejak dari usia muda untuk menawan kota tersohor ini. Usaha yang beliau lakukan ini juga adalah atas keyakinan bahawa dirinyalah pemimpin terbaik untuk memikul tugas murni yang gagal dijayakan oleh pemimpin lain.

Sultan Muhammad ll dilahirkan pada 30 Mac 1432 di Edirne. Beliau merupakan anak keempat Sultan Murad II. Sultan Muhammad ll adalah seorang sultan Uthmaniyah yang berwibawa sebagai seorang pentadbir, ketua tentera dan juga merupakan seorang yang mahir dalam ilmu sejarah, geografi, ilmu falak dan puisi. Menurut Belini, iaitu seorang pelukis dari Venice yang bertemu Sultan Muhammad ll, sultan Uthmaniyah ini digambarkan sebagai seorang Islam yang warak dan fasih bertutur dalam sekurang-kurangnya tiga bahasa, iaitu Arab, Turki dan Parsi.

Sultan Muhammad ll adalah seorang yang bercita-cita tinggi dan secara tegas menyatakan cita-citanya untuk menawan kota Constantinople sebaik-baik sahaja dilantik menjadi sultan. Bagi merealisasikan cita-citanya itu Sultan Muhammad ll sendiri terlibat dengan perancangan bagi menawan kota ini sejak awal-awal lagi. Usaha beliau ini dibantu penasihat dan pembantunya yang berwibawa seperti Ak Shamsuddin yang merupakan penasihat kerohaniannya dan wazir Zarghanos Pasha.

Usaha Sultan Muhammad menakluki Constantinople merangkumi perancangan bagaimana kota ini perlu dipencilkan terlebih dahulu daripada sokongan luar, kekebalan kota ini perlu dihancurkan dan persiapan rapi dilakukan bagi menggempur kota tersebut. Sebagai langkah awal, Sultan Muhammad ll, telah membuat perjanjian persahabatan dengan jiran-jiran Constantinople bagi mengelakkan mereka menghulur bantuan kepada kota ini apabila dikepung. Pada waktu yang sama Rumeli Hisari telah disiapkan binaannya pada 31 Ogos 1452 bagi melengkapkan peranannya dengan Anadolu Hisari dalam usaha memencilkan Constantinople dan menghalangnya daripada menerima bantuan luar melalui selat Bosphorus.

Setelah meyakini bahawa Constantinople telah dipencilkan, pada hari Isnin 2 April, 1453 Sultan Muhammad ll telah mengisytiharkan perang ke atas kota tersebut. Serangan ke atas Constantinople dimulakan selepas solat Jumaat pada 6 April 1453 dengan tembakan dilepaskan oleh meriam gergasi. Meriam ini dicipta oleh Sultan Muhammad ll dengan bantuan seorang jurutera bangsa Hungary bernama Urban. Meriam yang mampu menembak peluru seberat antara 800-1200 paun ternyata berjaya merobek kubu yang selama ini amat kebal daripada sebarang serangan.

Serangan ke atas Constantinople melibatkan persiapan Sultan Muhammad ll yang melibatkan 140 buah kapal perang 320 buah perahu dengan angkatan tentera berjumlah seramai seratus lima puluh ribu orang, termasuklah dua belas ribu tentera janisari yang terlatih. Walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi menawan,namun kota ini ternyata kebal kerana selepas dua minggu serangan dilancarkan, kota tersebut masih mampu bertahan. Kegagalan ini sedikit sebanyak menjejaskan semangat juang bala tentera Sultan Muhammad ll. Antara faktor yang menggagalkan usaha penaklukan ini ialah keterbatasan serangan yang dilancarkan dari darat. Lantaran itu, pada malam 21-22 April 21-22 Sultan Muhammad ll telah mengarahkan supaya kapal perangnya diheret melalui Bukit Galata menuju ke Tanduk Emas bagi membolehkan serangan dari laut yang lebih berkesan dapat dilancarkan. Dengan bantuan kayu bulat yang dilicinkan dengan menggunakan lemak lembu satu landasan diwujudkan bagi memudahkan kapal ini diseret menaiki bukit. Strategi yang digunakan ini ternyata memberikan kesan yang mengejutkan sehingga berjaya memecahkan pertahanan musuh dan membolehkan serangan dilakukan dengan lebih berkesan.

Walaupun strategi demi strategi diusahakan, namun kejayaan muktamad menawan Constantinople masih belum berhasil. Pada malam 26 Mei Sultan Muhammad ll telah mengadakan perundingan dengan pakar-pakar strateginya bagi membolehkan serangan muktamad dilancarkan. Pada hari Ahad 27 Mei Sultan Muhammad ll telah melakukan lawatan ke atas ketumbukan tenteranya bagi memberikan mereka semangat dan menawarkan hadiah apabila kota Constantinople berjaya ditawan. Pada 28 Mei Sultan Muhammad ll mengumumkan kepada tenteranya supaya berehat, membersihkan rohani dan berpuasa sebelum serangan muktamad dilancarkan pada keesokan harinya. Pada malam sebelum serangan dilancarkan Sultan Muhammad ll sendiri bersama-sama dengan Zarghanos Pasha membuat persiapan terakhir dengan memperincikan strategi yang akan digunakan. Selain itu, beliau juga melawat khemah tenteranya bagi memberikan mereka semangat dengan menegaskan bahawa tugas menawan Constantinople adalah tugas suci yang mestilah dilaksanakan pada kali ini.

Pada awal pagi Rabu 29 Mei, tentera Uthmaniyah telah bertindak membakar khemah dan melaungkan kata-kata semangat bahawa mereka akan bermalam di dalam kota Constantinople pada waktu malam nanti. Serangan awal telah dilancarkan oleh tentera yang melibatkan pasukan rakyat yang kurang mahir dan diikuti dengan serangan oleh tentera yang lebih terlatih. Akhirnya menjelang terbit matahari serangan dilancarkan oleh pasukan pemanah dan tentera janisari yang lebih terlatih. Serangan secara terancang ini ternyata membuahkan hasil yang membawa kepada jatuhnya kota Constantinople setelah dikepung selama lima puluh empat hari. Sebaik-baik sahaja memasuki Constantinople Sultan Muhammad ll mengumumkan bahawa kota ini kini dikenali sebagai Istanbul.

Penaklukan kota Constantinople oleh Sultan Muhammad ll merupakan satu peristiwa bersejarah dalam perkembangan Islam. Kejayaan yang dicapai ini merupakan gabungan inspirasi yang membakar semangat, perancangan yang rapi, kerja sepasukan yang jitu, strategi yang sesuai pada waktunya dan keyakinan kepada pertolongan Allah dalam membawa kejayaan. Ternyata usaha penaklukan ke atas kota ini oleh Sultan Muhammad ll boleh dijadikan iktibar dalam perjuangan membawa perubahan kepada ummah. Usaha Mohamad Syaari Abdul Rahman menulis buku Kuasa Kepimpinan al-Fateh adalah satu usaha murni yang patut dipuji kerana membantu mendedahkan kepada khalayak satu peristiwa yang telah mengubah perjalanan sejarah umat Islam. Usaha Sultan Muhammad ll wajar menjadi iktibar kepada generasi muda dalam usaha menjadikan nasib umat Islam pada masa akan datang lebih baik daripada umat Islam pada masa kini.


Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman
Dekan
Fakulti Sastera dan Sains Sosial
Universiti Malaya
KUALA LUMPUR
11 Januari 2011
e-mel: redz8182@gmai.com